Bismillahirrahmanirrahim..

Sebagaimana yang dimaklumi bersama bahawa sambutan Hari Ibu merupakan satu sambutan yang seringkali disambut oleh seluruh masyarakat dunia tidak terkecuali umat Islam di negara kita Malaysia. Persoalannya, adakah sambutan ini yang tidak disandarkan kepada mana-mana sunnah Rasulullah s.a.w dibolehkan di dalam Islam?



Di dalam menjawab persoalan ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengemukakan jawapan yang amat menarik sebagaimana termaktub di dalam laman web http://www.islamonline.net. Antara lainnya jawapan beliau berbunyi :
“Apabila kita mengadakan sambutan hari ibu yang dianjurkan oleh Barat, kita sebenarnya telah mengikuti langkah-langkah mereka dengan membuta tuli dan sama sekali kita tidak pernah memikirkan kenapakah Barat menganjurkan sambutan Hari Ibu. Sebenarnya ahli pemikir Barat mendapati bahawa anak-anak remaja sudah tidak lagi memuliakan ibu mereka dengan sepatutnya, maka mereka berusaha untuk mengadakan satu hari khusus bagi mengajak masyarakat Barat khususnya memuliakan ibu dan hari ini dinamakan sebagai Hari Ibu. Sedangkan bagi kita umat Islam sudah diperintahkan untuk memuliakan ibu pada setiap masa dan waktu. Kita sentiasa mengucup tangan ibu, mematuhi permintaannya dan sentiasa menziarahi ibu setiap masa. Oleh yang demikian, tidak ada satu keperluan yang mendesak untuk turut diadakan hari Ibu. Namun, apabila Barat melaungkan sambutan Hari Ibu, kita pun turut terikut-ikut sedangkan suasana yang ada sebenarnya amat berbeza. Mereka membiarkan ibu mereka terkontang-kanting di rumah kebajikan dan bapa mereka pula hidup di tempat berasingan tanpa sesiapa yang datang menjenguk. Sedangkan di dalam kehidupan kita, tidak berlakunya perkara demikian".

Islam sebenarnya telah memberikan satu tanggungjawab kepada umat Islam untuk memuliakan ibunya. Ini termaktub di dalam hadis yang memerintahkan dimuliakan ibu ke atas bapa sebanyak tiga kali (ibumu, ibumu, ibumu kemudian bapamu). Dan sekiranya kita merujuk kepada al-Quran sendiri, kita akan mendapati al-Quran memberikan penekanan supaya memuliakan kedua-dua ibubapa. Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya” (Surah al-Ankabut, ayat 8)

Walaupun demikian, al-Quran juga hanya menceritakan kepayahan yang ditempuhi oleh seorang ibu dalam mengandungkan anaknya sebagai satu isyarat bahawa ibu sepatutnya lebih ditaati dari seorang bapa. Firman Allah swt yang bermaksud : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Daku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.” (Surah Luqman, 8)

Pandangan Dr. Yusuf al-Qaradhawi ini agak berbeza dari pandangan Dr. Abdul Fattah ‘Asyur yang antara lainnya menyatakan di dalam responnya :
“Perayaan hari Ibu tidak boleh dikatakan salah satu hari raya bagi umat Islam. Namun demikian, ia tetap dikira sebagai satu peluang untuk perlu diambil untuk menzahirkan kemuliaan kepada ibu, di dalam masa yang sama tidaklah menafikan kewajipan anak ini pada hari-hari yang lain.
Dan sekiranya dipilih satu hari untuk anak-anak masing-masing memuliakan ibu mereka dengan cara tersendiri, maka itu tidaklah dicegah oleh hukum syarak. Bahkan kita mengadakan sambutan ini sebagai memenuhi perintah Allah s.w.t.”

Wallahu a’lam...

Pandangan ini boleh dikongsi di alamat :
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1122528611420&pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar%2FFatwaA%2FFatwaAAskTheScholar

Sabtu, Mei 08, 2010 Posted in | | 0 Comments »

One Responses to "Sambutan Hari Ibu : Antara Keharusan Dan Larangan"

Write a comment