Persepsi masyarakat tentang peribadi muslim memang berbeza-beza, bahkan banyak yang pemahamannya sempit sehingga seolah-olah peribadi muslim itu tercermin pada orang yang hanya rajin menjalankan Islam dari aspek ubudiyah, padahal itu hanyalah salah satu aspek yang harus ada pada peribadi seorang muslim. Oleh kerana itu standard peribadi muslim yang berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah merupakan sesuatu yang wajib dirumuskan, sehingga menjadi acuan bagi pembentukan peribadi muslim.

Bila disederhanakan, sekurang-kurangnya ada sepuluh profil atau ciri khas yang mesti ada pada peribadi seseorang muslim.

1. Salimul Aqidah

AqidahYang Bersih (salimul aqidah) merupakan sesuatu yang sepatutnya ada pada setiap muslim. Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah s.w.t. dan dengan ikatan yang kuat itu dia tidak akan menyimpang dari jalan dan ketentuan-ketentuanNya. Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud: 'Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semester alam'. (QS 6:162)

Kerana memiliki aqidah yang salim merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam da'wahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah s.a.w sentiasa mengutamakan pembinaan aqidah, iman dan tauhid.


2. Sahihul Ibadah

Ibadah Yang Benar (sahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasul s.a.w yang penting, dalam satu hadith baginda menyatakan: 'Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.' Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahwa dalam melaksanakan setiap peribadatan haruslah merujuk kepada sunnah Rasul s.a.w yang bererti tidak boleh ada unsur penambahan atau pengurangan.


3. Matinul Khuluq

Akhlak Yang Kukuh (matinul khuluq) atau akhlak yang mulia merupakan sikap dan prilaku yang harus dimiliki oleh setiap muslim, baik dalam hubungannya kepada Allah maupun dengan makhluk-makhlukNya. Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia mahupun di akhirat.

Kerana begitu penting memiliki akhlak yang mulia bagi umat manusia, maka Rasulullah s.a.w diutus untuk memperbaiki akhlak dan baginda sendiri telah mencontohkan kepada kita akhlaknya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah di dalam Al-Qur'an, Allah berfirman yang bermaksud: 'Dan sesungguhnya kamu benar-benar memiliki akhlak yang agung' (QS 68:4).


4. Qowiyyul Jismi

Kekuatan Jasmani (qowiyyul jismi) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang harus ada. Kekuatan jasmani bererti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimal dengan fizikalnya yang kuat. Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan fizikal yang sihat atau kuat, apatah lagi berperang di jalan Allah dan bentuk-bentuk perjuangan yang lain.

Oleh kerana itu, kesihatan jasmani harus diberi perhatian oleh seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada pengubatan. Meskipun demikian, sakit tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar bila hal itu kadang-kadang terjadi, dan jangan sampai seorang muslim sering sakit. Kerana kekuatan jasmani juga suatu perkara yang penting, maka Rasulullah saw bersabda yang ertinya: 'Mu'min yang kuat lebih aku cintai daripada mu'min yang lemah' .(HR. Muslim)


5. Mutsaqqoful Fikri

Intelek Dalam Berfikir (mutsaqqoful fikri) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang penting. Kerana ianya salah satu sifat Rasul adalah fatonah (cerdas) dan Al-Qur'an banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir, misalnya firman Allah yang bermaksud:'Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: 'pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.' Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: 'Yang lebih dari keperluan.' Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu supaya kamu berfikir (QS 2:219).

Di dalam Islam, tidak ada satupun perbuatan yang harus kita lakukan, kecuali harus dimulai dengan aktiviti berfikir. Kerananya seorang muslim harus memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas. Dapat kita bayangkan, betapa bahayanya suatu perbuatan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu.

Oleh kerana itu Allah mempertanyakan kepada kita tentang tingkat intelektual seseorang sebagaimana firmanNya yang bermaksud: Katakanlah: “samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.' (QS 39:9)



6. Mujahadatul Linafsihi

Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatul linafsihi) merupakan salah satu keperibadian yang harus ada pada diri seorang muslim, kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada manakala seseorang berjuang dalam melawan hawa nafsu.

Oleh kerana itu hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia harus diupayakan tunduk pada ajaran Islam, Rasulullah s.a.w bersabda yang ertinya: Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran islam). (HR. Hakim)


7. Harisun 'Ala Waqtihi

Bijak Mengurus Waktu (harisun 'ala waqtihi) merupakan faktor penting bagi manusia. Hal ini kerana waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan RasulNya. Allah s.w.t banyak bersumpah di dalam Al-Qur'an dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal asri, wallaili dan sebagainya.

Allah swt memberikan waktu kepada manusia dalam jumlah yang sama setiap, yakni 24 jam sehari semalam. Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan ada manusia yang rugi. Kerana itu tepat sebuah semboyan yang menyatakan: 'Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu.' Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan kembali lagi.

Oleh kerana itu setiap muslim amat dituntut untuk mengisi waktunya dengan baik, sehingga waktu dapat berlalu dengan penggunaan yang efektif, tak ada yang sia-sia. Maka diantara yang disinggung oleh Nabi Saw adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara, yakni waktu hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.


8. Munazzhamun fi Syu''unihi

Teratur Dalam Suatu Urusan (munazzhamun fi syu'unihi) termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al-Qur'an mahupun sunnah. Oleh kerana itu dalam hukum Islam, baik yang berkait dengan masalah ubudiyah mahupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik. Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka diharuskan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya.

Dengan kata lain, suatu urusan dikerjakan secara profesional, sehingga apapun yang dikerjakannya, profesionalisme selalu mendapat perhatian darinya. Bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban, adanya istiqomah dan berilmu pengetahuan merupakan diantara yang perlu diambil perhatian secara serius dalam menunaikan tugas-tugasnya.


9. Qodirun Alal Kasbi

Memiliki Kemampuan Usaha Sendiri atau yang juga disebut dengan kekuasaan (qodirun alal kasbi) merupakan ciri lain yang harus ada pada seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya baru boleh dilaksanakan bilamana seseorang memiliki kekuasaan, terutama dari segi ekonomi. Ramai yang telah mengorbankan prinsip yang telah dipegangnyanya kerana tidak memiliki kemahiran dari segi ekonomi. Sebab itulah peribadi muslim tidaklah mesti miskin, seorang muslim boleh saja kaya raya bahkan memang harus kaya agar dia boleh menunaikan haji dan umrah, zakat, infaq, sedekah, dan mempersiapkan masa depan yang baik. Oleh karena itu perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al-Qur'an mahupun hadith.


10. Nafi'un Lighoirihi

Bermanfaat Bagi Orang Lain (nafi’un lighoirihi) merupakan suatu tuntutan kepada setiap muslim. Manfaat yang dimaksudkan tentu saja manfaat yang baik sehingga dimanapun dia berada, orang disekitarnya merasakan keberadaannya kerana dapat memberi yang manfaat besar. Maka jangan sampai seorang muslim mengaggapnya adanya dia seperti tiada(tidak memberi manfaat). Ini bererti setiap muslim itu harus selalu berfikir, mempersiapkan dirinya dan berusaha semaksima mungkin agar dapat bermanfaat dalam hal-hal tertentu sehingga jangan sampai seorang muslim itu tidak boleh mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya.

Dalam kaitan inilah, Rasulullah saw bersabda yang ertinya:'Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain '.(HR. Qudhy dari Jabir).

Demikian secara umum profil seorang muslim yang disebutkan dalam Al-Qur'an dan Hadith, sesuatu yang perlu kita renungkan pada diri kita masing-masing.

Wallahu A'lam.

Rabu, Februari 17, 2010 Posted in | | 0 Comments »

One Responses to "Peribadi Seorang Muslim"

Write a comment